SEPASANG suami isteri yang sudah berusia di India mengheret anak mereka ke mahkamah dengan mendesak agar anaknya itu dan isteri segera menghasilkan cucu buat mereka dalam masa setahun, atau perlu menyediakan sejumlah AS$650,000 (RM2.86 juta) sebagai ganti rugi.

Portal berita The Guardian melaporkan, Sanjeev dan Sadhana Prasad berkata, mereka sudah bersusah-payah menggunakan kesemua wang simpanan untuk pendidikan anak lelaki mereka serta berhabis sewaktu melangsungkan majlis perkahwinannya.

Sekarang, semua pengorbanan itu mahu dituntut semula.

“Anak saya sudah berkahwin selama enam tahun namun mereka masih tidak merancang untuk memiliki anak. Sekurang-kurangnya, jika kami sudah ada cucu, kami boleh menghabiskan masa bermanja dengannya dan perasaan kami dapat diredakan,” ujar pasangan itu dalam satu petisyen yang difailkan di mahkamah Haridwar, minggu lalu.

Times of India pada Khamis melaporkan, ganti rugi yang diminta itu adalah untuk sekurang-kurangnya menampung sebahagian perbelanjaan yang sudah dilakukan. Mereka sudah membelanjakan sebanyak AS$646,000 (RM2.84 juta) bagi majlis perkahwinan di hotel lima bintang, dan kereta mewah berharga AS$80,000 (RM351,500), serta menanggung percutian bulan madu anak dan menantu mereka itu di luar negara.

Pasangan yang sudah bersara itu juga sudah menanggung perbelanjaan sejumlah AS$65,000 (RM285,640), untuk membolehkan anak lelaki mereka itu mengikuti kursus sebagai juruterbang di Amerika Syarikat.

Difahamkan, setelah pulang ke India, anak lelaki mereka tidak mendapat pekerjaan yang bersesuaian untuk tempoh yang lama.

“Setelah berhabis untuk dia, kami sendiri terpaksa ambil pinjaman untuk membina rumah kami, dan sekarang ini kewangan kami sangat terdesak. Dari segi mental juga, kami rasa sunyi kerana hanya tinggal kami berdua,” kata pasangan berkenaan dalam petisyen mereka.

Peguam pasangan itu, Arvind Kumar, berkata petisyen berkenaan akan dijadual untuk sesi pendengaran pada 17 Mei nanti.

India memiliki sistem keluarga besar yang terdiri daripada beberapa generasi. Datuk, nenek, sepupu, ibu saudara dan bapa saudara juga lazim dilihat tinggal bersama dalam satu rumah.

Bagaimanapun, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, trend itu sudah berubah. Pasangan muda lebih memilih untuk tinggal berasingan, manakala isteri pula sudah ramai yang mengambil kepiutusan untuk keluar bekerja, berbanding perlu duduk di rumah dan menjaga anak.