ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 19 September 2020.

1) Jumlah kes COVID-19 global cecah 30.3 juta

Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 peringkat global melepasi angka 30.3 juta kes. Ia berikutan ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

2) COVID-19: 948,000 kematian di seluruh dunia

Angka kematian global akibat jangkitan COVID-19 terus meningkat dengan pertambahan lebih 6,000 kes dalam tempoh 24 jam. Sehingga kini, lebih 948,000 kematian dicatatkan.

3) COVID-19: Singapura catat 15 kes baru, lima kes import

Singapura yang kini di dalam fasa kedua pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial, pada laporan awalnya mengesahkan 15 kes baru jangkitan COVID-19 untuk tempoh 24 jam lepas, dengan lima merupakan kes import.

4) Jangkitan COVID-19 di Indonesia semakin membimbangkan, kes baharu lebih 4,000

Indonesia mencatatkan 4,168 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, jumlah harian tertinggi sejak virus pandemik itu dikesan di republik berkenaan pada 2 Mac lepas.

5) Pilihan raya Presiden AS: Minnesota akan hancur jika Biden menang - Trump

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengingatkan penduduk di Minnesota bahawa jika undi diberikan kepada lawannya, Joe Biden, ia bakal membawa kemusnahan kepada penduduk di situ.

6) COVID-19: Victoria catat kes harian terendah sejak Jun

Buat pertama kalinya, wilayah Victoria yang menjadi titik panas kes COVID-19 di Australia mencatatkan kes terendah sejak Jun lalu. Berikutan itu, Ketua Menterinya, Daniel Andrews memberi penghargaan buat penduduk di kawasan itu dan berharap supaya wilayah itu terus mencatatkan kadar kes yang rendah.

7) 'Kek ilusi' bantu bangunkan semula perniagaan pasca pandemik

Sebuah kedai roti di Hong Kong yang mahu kembali daripada kemerosotan akibat COVID-19 hadir dengan idea 'kek ilusi' yang merupakan objek dilihat setiap hari sehinggalah anda memakannya.

8) Tiga cedera lif rosak di Jinjang

Lima individu berdepan detik cemas apabila terperangkap selepas lif yang dinaiki di sebuah flat di Taman Batu Permai, Jinjang, di sini, mengalami kerosakan pada petang Jumaat.

9) Aktivis muda alam sekitar rancang protes 25 September

Aktivis muda alam sekitar dari seluruh dunia merancang mengadakan protes yang dijadual berlangsung pada 25 September. Antara mereka termasuk aktivis Sweden, Greta Thunberg, 17 tahun, yang berbincang mengenai program itu bersama aktivis muda lain menerusi panggilan video, pada Jumaat.

10) Pelaburan kesihatan tinggi hanya ketika wabak melanda - WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersiap sedia menghadapi wabak lain yang serupa selepas krisis COVID-19 berakhir.