ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 21 September 2020.

1) Kes positif COVID-19 lepasi angka 30.87 juta

JUMLAH kumulatif global kes positif COVID-19 kini melepasi 30.87 juta kes.

Ini berikutan ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.


2) COVID-19: Angka korban kini lebih 958,000

Angka korban akibat COVID-19 terus meningkat.

Statistik Johns Hopkins University menunjukkan jumlah kematian global meningkat lebih 5,000 kes dalam tempoh 24 jam.


3) Lebih 20,000 sertai protes bersejarah tuntut reformasi monarki

Protes bersejarah di Bangkok, Thailand berakhir semalam selepas satu petisyen dikemukakan oleh penunjuk perasaan.

Ia menuntut reformasi monarki, termasuk mengehadkan kuasa raja dan perbincangan bebas berhubung sistem pemerintahan beraja.


4) China dakwa kesan COVID-19 pada bungkusan sotong import

Virus SARS-CoV-2 punca penyakit COVID-19 ditemukan pada bungkusan sotong import di wilayah Jilin, timur laut China.

Serentak itu, pihak berkuasa kesihatan bandar Fuyu menggesa mereka yang membelinya untuk menjalani ujian saringan COVID-19.


5) COVID-19: OECD anjur tiga saranan untuk pastikan ekonomi dunia dipertahan ketika pandemik

PERTUBUHAN untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menjangkakan ekonomi dunia memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk pulih seperti sedia kala.

Data menunjukkan ekonomi maju menguncup 9.8 peratus dari April ke Jun tahun ini yang merupakan satu penguncupan besar.


6) Tugu peringati mangsa korban COVID-19 dibina di Rio de Janeiro

Sebuah tugu dibina bagi memperingati mangsa COVID-19 di Rio de Janeiro, Brazil.

Infinity Memorial dibina di lokasi di mana kebanyakan mangsa dikebumikan di bandar itu.


7) Mahkamah halang larangan muat turun aplikasi WeChat di AS

Mahkamah California pada Ahad menyekat perintah kerajaan Amerika Syarikat (AS) ke atas larangan muat turun aplikasi media sosial WeChat.

Hakim Laurel Beeler memutuskan bahawa perintah eksekutif pentadbiran Presiden Donald Trump yang mengharamkan muat turun WeChat adalah satu sekatan melampau ke atas kebebasan bersuara pengguna aplikasi tersebut.


8) Plak pro-demokrasi Thailand hilang sehari selepas dipasang

Hanya sehari sejak plak simbol demokrasi dipasang penunjuk perasaan di Bangkok, Thailand, ia kini dilaporkan hilang oleh pihak polis.

Plak tersebut yang diletak berhampiran Grand Palace mengisytiharkan bahawa negara itu milik rakyat dan bukan milik raja, susulan protes menggesa reformasi monarki serta supaya parlimen bawah Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha dibubarkan.


9) Fosil dinosaur berusia 125 juta tahun ditemukan di China

Ahli Arkeologi di China berjaya menemukan dua fosil sempurna dipercayai berasal daripada rangka spesis dinosaur yang berusia 125 juta tahun.

Menurut satu kenyataan media, spesis dinosaur yang dikenali sebagai Changmiania Liaoningensi itu dijumpai di Lujiatun Beds, lapisan tertua di Yixian Formation di Timur Laut China.


10) Pengacara popular Giuliana Rancic positif COVID-19

Pengacara popular saluran E!, Giuliana Rancic mengesahkan dia positif COVID-19.

Rancic yang sepatutnya mengacarakan acara karpet merah di Anugerah Emmy berkata, selain dia, turut disahkan positif pandemic berkenaan ialah suami dan anaknya.