ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 22 September 2020.


1) COVID-19: Kematian cecah 962,000, kes positif lebih 31.2 juta

JUMLAH kumulatif kes positif global COVID-19 kini melepasi angka 31.2 juta.

Ini berikutan ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.


2) Pembangunan maritim di Mediterranean Timur mampu diselesaikan dengan baik - Erdogan

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan yakin pertikaian antara Greece berhubung pembangunan maritim di Mediterranean Timur mampu diselesaikan dengan baik dan adil.

Bagaimanapun beliau tidak menolak bahawa alternatif lain untuk menyelesaikan isu itu adalah dengan cara melawan.


3) UNGA: Debat umum pemimpin dunia buka tirai hari ini

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal membuat penampilan sulung sebagai pemimpin negara pada debat umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-75 yang bermula hari ini.

Perhimpunan itu bagaimanapun dijangka kurang mencapai kerjasama diplomasi yang efektif memandangkan kebanyakan pemimpin dunia tidak akan bertemu secara bersemuka, akibat pandemik COVID-19.


4) UK umum langkah baharu bendung COVID-19

United Kingdom (UK) pada Selasa memaklumkan akan mengumumkan langkah baharu untuk membendung peningkatan kes COVID-19.

Jurucakap kerajaan British berkata, tindakan itu diambil selepas penasihat tertinggi memberi amaran jumlah kematian akan meningkat dalam tempoh dua bulan jika tiada tindakan segera diambil.


5) Banduan China bolos dari penjara Indonesia ikut longkang

Polis Daerah Metro Jaya sedang mengesan seorang banduan dipercayai tokan dadah yang telah melarikan diri dari penjara Institusi Pembetulan Kelas 1 (Lapas) Kota Tangerang, Banten, Indonesia, sejak Jumaat lepas.

Dia dipercayai menggali lubang dari dalam perimeter penjara, sebelum akhirnya memboloskan diri ke satu saluran air.


6) Ahli astronomi antarabangsa temui planet baharu 'LTT 9779b'

PASUKAN astronomi antarabangsa termasuk penyelidik dari Universiti Cambridge mendedahkan penemuan planet kelas baharu yang sebelum ini digelar 'Ultrahot Neptune' dalam sistem suria pada Isnin.

Memetik kajian bersama yang dilakukan Universiti Cambridge dan Universiti De Chile dalam jurnal Nature Astronomy, planet gergasi itu mengorbit bintangnya 60 kali lebih dekat berbanding Bumi mengorbit matahari.


7) COVID-19: 21 kes baharu, sifar kes komuniti di Singapura

Singapura mengesahkan 21 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 57,627 kes.

"Berdasarkan siasatan kami setakat ini, tiada kes dalam komuniti," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini.


8) Vaksin COVID-19: WHO usaha pastikan akses adil ke seluruh dunia

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha untuk memastikan akses vaksin COVID-19 yang adil ke seluruh dunia.

Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada masa sama percaya ia adalah jalan terpantas untuk menamatkan wabak dan mempercepat pemulihan ekonomi global.