ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 30 Ogos 2021.

1. Lapangan terbang Kabul jadi sasaran serangan roket

Lapangan terbang Kabul pada Isnin menjadi sasaran serangan roket, ketika pasukan tentera pimpinan Amerika Syarikat (AS) sedang dalam proses berundur dari Afghanistan.

2. Presiden Palestin, Menteri Pertahanan Israel bertemu di Ramallah

Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz pada Ahad malam di bandar Ramallah di Tebing Barat. Pertemuan itu adalah yang pertama sejak 2014, sejak rundingan damai antara kedua-dua pihak terhenti.

3. Taufan Ida | Biden komited beri bantuan secukupnya

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyatakan komitmennya untuk melakukan usaha penyelamatan dan pemulihan susulan Taufan Ida. Taufan yang akan membadai Louisiana dan Missisippi itu disifatkan satu ancaman kepada nyawa dan kemusnahan harta benda.

4. 30 maut dalam serangan dron, misil di pangkalan tentera Yaman

Serangan peluru berpandu dan dron di pangkalan tentera utama selatan Yaman pada Ahad mengorbankan sekurang-kurangnya 30 tentera.

5. UK dikritik tergesa-gesa bawa keluar warga Afghanistan

United Kingdom berdepan banyak kritikan selepas kerajaan itu mengakhiri secara tergesa-gesa membawa keluar warga Afghanistan, sekali gus menyebabkan ratusan lagi yang sepatutnya ditempatkan semula, terkandas.

6. Krisis Afghanistan: Pengebom bunuh diri maut dalam serangan dron AS

Serangan dron Amerika Syarikat membunuh seorang pengebom bunuh diri di mana Pentagon mendedahkan suspek merancang melakukan serangan di Lapangan Terbang Kabul, pada Ahad.

7. COVID-19: New Zealand catat 83 kes baharu

New Zealand merekodkan 83 kes jangkitan komuniti baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif di negara itu setakat ini, 551 kes.

8. Banjir China: Bandar Ankang dinaiki air, tanah runtuh

Hujan lebat di bandar Ankang, barat laut Shaanxi, China sejak awal pagi Ahad, menyebabkan banjir teruk selain kejadian tanah runtuh. Sehingga jam 7 pagi waktu tempatan, lebih dari 23,000 orang telah dipindahkan ke tempat selamat.

9. COVID-19 | Angka korban global lebih 4.49 juta kes

Angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melebihi 4.49 juta. Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 637 ribu kes.

10. Vaksin COVID-19 | Jumlah dos didaftarkan seluruh dunia: 5.19 bilion

Lebih 5.19 bilion dos vaksin COVID-19 sudah didaftarkan atau disuntik di seluruh dunia sehingga pagi Isnin. Menurut data Johns Hopkins University, China kini mendahului dengan lebih 2.03 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.