ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 22 Ogos 2022.

1. COVID-19 | Sekolah di Filipina dibuka semula selepas dua tahun

Lebih 27 juta pelajar Filipina kembali ke sekolah pada Isnin, selepas dua tahun ditutup akibat pandemik COVID-19. Bagaimanapun, hanya 46 peratus sekolah di negara itu dapat mengadakan kelas bersemuka sepenuhnya, sementara yang lain berdepan pelbagai isu seperti kekurangan bilik darjah, penularan COVID-19 dan kerosakan infrastruktur akibat gempa bumi.

2. Bencana Alam | 20 Maut, 30 cedera di Logar, Afghanistan

Gabenor Logar, Afghanistan Enayatullah Shuja, merayu bantuan antarabangsa bagi membantu mangsa banjir kilat di wilayah itu. Bencana pada Sabtu lalu itu mengorbankan sekurang kurangnya 20 nyawa termasuk kanak-kanan. Sementara sekitar 30 orang lagi dilaporkan cedera.

3. Gelombang Haba | Kebakaran hutan merebak di Ryazan

Semakin ramai penduduk di Ryazan, Rusia dipindahkan akibat kebakaran hutan yang merebak dengan pantas sepanjang dua hari lepas. Penduduk di sekurang-kurangnya dua lagi kawasan dipindahkan pada Ahad selepas kebakaran didapati semakin menghampiri kawasan perumahan.

4. Kapal tangki Rusia ditahan bersauh tanpa kebenaran di Tanjung Siang

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Rusia, kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 23.6 batu nautika timur laut Tanjung Siang, Kota Tinggi, petang semalam.

5. Kes cacar monyet di Israel melebihi 200

Israel merekodkan 208 kes cacar monyet setakat ini, dengan 11 kes baharu dilaporkan dalam tempoh empat hari lepas, menurut Kementerian Kesihatan Israel pada Ahad.

6. Imran beri amaran kekecohan parti diharamkan, penyokong berhimpun di Islamabad

Bekas perdana menteri Pakistan memberi amaran negara bakal berdepan krisis serupa seperti Sri Lanka jika tindakan keras dikenakan terhadap partinya Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

7. Sudan isytihar kecemasan di 6 negeri susulan banjir

Kerajaan Sudan pada Ahad mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga dan kecemasan di enam negeri di negara itu berikutan hujan lebat dan banjir, lapor agensi berita rasmi SUNA.

8. Abbas seru rakyat Palestin dalam tahanan Israel dibebaskan

Presiden Palestin Mahmoud Abbas menggesa agar semua tahanan Palestin dibebaskan dari penjara Israel.

9. Bencana | 40 korban akibat banjir dan tanah runtuh di India

Sekurang-kurangnya 40 maut dan yang lain masih hilang dalam banjir kilat susulan hujan monsun melanda utara India sejak tiga hari lalu. Menurut kenyataan rasmi, tanah runtuh dan banjir di negeri Himalaya Himachal Pradesh sahaja mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang.

10. COVID-19 | PM Jepun positif, batal lawatan ke Tunisia

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida terpaksa menangguhkan lawatannya ke Tunisia selepas dijangkiti COVID-19. Kishida kini sedang menjalani proses pemulihan di kediaman rasminya.