ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 27 September 2022.

1. Taufan Noru: Lebih 800,000 penduduk Vietnam diarah berpindah

Taufan Noru yang mula beralih ke Vietnam, memaksa pihak berkuasa memindahkan lebih 800,000 penduduk ke pusat penempatan sementara.

2. Pemimpin dunia hadir upacara pengebumian Shinzo Abe

Upacara Pengebumian Negara untuk mendiang bekas Perdana Menteri, Jepun, Shinzo Abe yang berlangsung hari ini pada pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) dijangka dihadiri oleh ribuan orang termasuk pemimpin dan wakil dari lebih 217 negara, wilayah dan organisasi antarabangsa.

3. UNGA Ke-77 | Perpaduan global makin pudar - Indonesia

Indonesia menggesa 'paradigma kerjasama baharu' melalui semangat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Menteri Luarnya, Retno Lestari Priansari Marsudi berkata, kerjasama baharu itu meliputi penglibatan yang inklusif.

4. Indonesia sumbang AS$1 juta kepada Pakistan

Indonesia menyerahkan bantuan kewangan AS$1 juta serta barang keperluan asas untuk meringankan beban masyarakat yang terkesan akibat bencana di Pakistan.

5. Muhammad Ishaq bakal jawat Menteri Kewangan Pakistan buat kali kelima

Bekas Menteri Kewangan Pakistan, Muhammad Ishaq Dar dijangka mengambil alih semula jawatan itu susulan peletakan jawatan Miftah Ismail.

6. Setiausaha Agung PBB gesa mansuhkan senjata nuklear untuk generasi akan datang

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres menggesa semua negara supaya menghapuskan senjata nuklear, yang tidak menawarkan keselamatan malah hanya menyebabkan pembunuhan beramai-ramai serta huru-hara, ketika Presiden Rusia Vladimir Putin meningkatkan ancaman dalam perangnya terhadap Ukraine.

7. OECD beri amaran kemelesetan di Eropah

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi globalnya bagi 2023, serta memberi amaran bahawa banyak negara di Eropah berkemungkinan akan menghadapi kemelesetan pada tahun depan.

8. Kanada sedia terima pelawat luar bermula 1 Oktober

Kanada kini bersedia menerima pelancong dari luar negara selepas menarik balik sekatan COVID-19 yang tidak lagi mewajibkan ujian calitan dan menjalani tempoh kuarantin.

9. Filipina tutup 175 syarikat judi pesisir, hantar pulang 40,000 pekerja China

Pegawai Kementerian Kehakiman Filipina memaklumkan negara itu akan menghentikan operasi 175 syarikat perjudian luar pesisir dan bakal menghantar pulang kira-kira 40,000 pekerja dari China.

10. Kapal angkasa kecil hentam asteroid Dimorphos

Sebuah kapal angkasa kecil Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) berjaya menghentam asteroid Dimorphos dalam ujian yang bersejarah pada Isnin.