ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 20 Oktober 2022.

1. Baru 45 hari, Liz Truss letak jawatan Perdana Menteri UK

Perkembangan terkini susulan pembentangan belanjawan negara yang buruk pada bulan lalu.

2. Cacar monyet: Kes kedua dilaporkan di Vietnam

Seorang wanita tempatan yang pulang dari Dubai disahkan positif cacar monyet, sekali gus menjadikannya kes kedua dikesan di Vietnam, menurut Jabatan Kesihatan tempatan.

3. Jamin keselamatan makanan sendiri di samping pelihara keselamatan makanan dunia - Presiden China

Presiden China, Xi Jinping berkata keselamatan makanan rakyat China yang menduduki satu perlima populasi dunia berkait rapat dengan keselamatan makanan global dan menjadi tumpuan dunia.

4. Krisis Ukraine-Rusia | Rusia tekan rakyat Ukraine dengan undang-undang tentera - Biden

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin kini mendapati dirinya dalam kedudukan yang sangat sukar. Kenyataan Biden itu sebagai reaksi kepada tindakan Putin mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah yang dirampas dari Ukraine.

5. China harap Sidang Kemuncak G20 akan tingkat kerjasama antarabangsa menentang COVID-19

China berharap Sidang Kemuncak G20 di Bali, Indonesia bulan depan akan memainkan peranan yang membina dalam meningkatkan kerjasama antarabangsa menentang COVID-19. 

6. Tokyo tidak import minyak Rusia pada September, import susut 59.9 peratus pada separuh pertama

Jepun tidak mengimport minyak Rusia pada September selain mengurangkan import minyak dan produk minyak dari negara itu kepada 59.9 peratus pada separuh pertama tahun fiskal 2022 (1H2022), menurut data Kementerian Kewangan Jepun pada Khamis.

7. Battersea Power Station London terima lebih 250,000 pengunjung pada pembukaan

Battersea Power Station di London menerima lebih 250,000 pengunjung semasa pembukaannya pada hujung minggu antara 14 dan 16 Okt untuk menyaksikan mercu tanda ikonik itu buat kali pertama dan meneroka laluan pejalan kaki utama baharu - Electric Boulevard.

8. Tanpa aktiviti fizikal, 500 juta orang berisiko hadapi penyakit jantung, obesiti - WHO

Laporan baharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu memberi amaran bahawa antara 2020 dan 2030 hampir setengah bilion orang dikhuatiri akan menghidap penyakit jantung, obesiti, diabetes atau penyakit tidak berjangkit (NCD) lain disebabkan oleh ketidakaktifan fizikal.

9.India nasihat rakyatnya elak perjalanan ke Ukraine

India pada Rabu meminta rakyatnya mengelak perjalanan ke Ukraine berikutan "keadaan keselamatan yang semakin merosot" di negara itu yang kini berperang dengan Rusia sejak Februari.

10. 21 maut di Peru akibat keracunan minuman keras

Sekurang-kurangnya 21 orang dilaporkan maut di tepi jalan dekat bandar Huánuco, Peru, sepanjang minggu lalu. Kesemua mereka didakwa mengambil minuman keras yang dipercayai mengandungi racun.