ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 4 November 2022.

1. Indonesia naikkan cukai eksais rokok untuk kurangkan perokok muda

Kerajaan Indonesia memutuskan untuk menaikkan cukai eksais rokok bertujuan mengurangkan perokok dalam kalangan golongan muda dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok pada 2023 dan 2024, kata Menteri Kewangan, Sri Mulyani pada Khamis.

2. Blok sayap kanan pimpinan Netanyahu menang pilihan raya Israel

Blok sayap kanan bekas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memenangi pilihan raya umum dengan memperoleh 120 kerusi di parlimen, menurut ketua jawatankuasa pilihan raya negara itu.

3. Pemberhentian kerja di Twitter bermula Jumaat

Twitter berkata, ia akan mula memberhentikan pekerja pada Jumaat disebabkan oleh pemilik baharunya, bilionair Elon Musk mahu bergerak pantas selepas pengambilalihan besarnya untuk menjadikan platform pemesejan itu kukuh dari segi kewangan.

4. Bekas PM Pakistan Imran Khan stabil selepas selamat daripada cubaan bunuh

Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan dilaporkan stabil selepas terkena tembakan di kaki susulan cubaan membunuhnya pada Khamis ketika mengetuai perarakan ke Islamabad.

5. Penyokong Imran Khan lancar protes

Penyokong Imran Khan melancarkan protes di Rawalpindi pada Khamis susulan serangan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

6. UK 'tiada rancangan' pindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis

Kerajaan baharu Britain diketuai Perdana Menteri Rishi Sunak pada Khamis buat masa ini tidak mempunyai sebarang hasrat untuk memindahkan Kedutaan United Kingdom (UK) di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

7. 81 meninggal dunia akibat wabak taun terbesar

Kes wabak taun dilaporkan semakin meningkat di Syria selepas meragut 81 nyawa sejak Ogos hingga Oktober lalu.

8. Iraq-Perancis | PM Iraq bertemu Perancis bagi kukuhkan hubungan dua hala

Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia Al-Sudani bertemu duta khas Presiden Perancis untuk Timur Tengah dan Afrika Utara bagi mengetengahkan pengukuhan hubungan dua hala. Delegasi yang diketuai oleh Patrick Dorrell membawa mesej daripada Presiden Perancis Emmanuel Macron kepada Al Sudani, dalam usaha membangunkan kerjasama dan perkongsian antara kedua-dua negara.

9. Piala Dunia Qatar | Kematian tiga anggota bomba tiada kaitan dengan Piala Dunia

Pihak berkuasa Qatar mengesahkan tiga anggota bomba yang meninggal dunia semasa latihan rutin minggu lalu tidak ada kaitan dengan Piala Dunia yang bakal berlangsung di negara itu akhir bulan ini. Bagaimanapun media tempatan melaporkan bahawa tiga anggota bomba berkenaan merupakan warga Pakistan, maut disebabkan kren tumbang.

10. Perangi Malaria, saintis hasilkan antibodi buatan makmal

Sebuah kajian baharu di Afrika mendapati pemberian satu dos ubat eksperimen melindungi orang dewasa daripada penyakit malaria sekurang-kurangnya dalam enam bulan dilaporkan merupakan pendekatan dalam memerangi penyakit itu.