ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 10 November 2022.

1. Kes kematian COVID-19 menurun 90 peratus sejak Feb - WHO

Kadar kematian akibat COVID-19 di peringkat global menurun hampir 90 peratus sejak Februari meskipun kadar ujian dan vaksinasi kekal rendah, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

2. NGO antarabangsa, media Indonesia puji pendirian Ismail Sabri ke atas Myanmar

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Antarabangsa dan media Indonesia memuji keberanian perdana menteri Malaysia yang lantang bersuara mengenai nasib rakyat Myanmar dan kekejaman dialami mereka di negara yang di perintah tentera.

3. Ferrari Schumacher dijual pada harga AS$14.8 juta di Geneva

Kereta Ferrari F2003-GA milik juara dunia Formula 1 tujuh kali Michael Schumacher dijual pada harga AS$14.8 juta dalam satu lelongan di Geneva pada Rabu.

4. COP27 | Negara miskin bergelut dengan hutang

Ketua Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran banyak negara berpendapatan rendah sedang bergelut untuk mengumpul dana menangani perubahan iklim kerana beban hutang yang mereka tanggung.

5. Bantuan Kewangan | EU salur bantuan 18 bilion euro kepada Ukraine

Kesatuan Eropah (EU) mendedahkan pelan untuk menyalurkan 18 bilion euro kepada Ukraine dalam bentuk bantuan kewangan dengan pembayaran tanpa faedah tahun depan. Ia bagi membantu negara yang dilanda perang itu mengekalkan kemudahan tenaga dan penjagaan kesihatannya selain membiayai gaji serta skim pencen.

6. Sidang ASEAN | Rusia sah sertai Sidang Kemuncak ASEAN

Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dijadual berlangsung di Phnom Penh, minggu depan.

7. Piala Dunia FIFA | Qatar lancar perkampungan peminat

Qatar melancarkan sebuah perkampungan peminat dengan 6,000 kabin di lot terpencil berhampiran lapangan terbangnya bagi penginapan untuk Piala Dunia yang akan bermula beberapa hari lagi. Kabin yang dibina di atas tapak seluas 3.1 kilometer persegi itu turut menempatkan stesen metro, perhentian bas dan restoran sementara serta kedai serbaneka.

8. Sidang Kemuncak Wuzhen WIC 2022 dirasmikan pada Rabu

Bertemakan "Towards a shared digital future in a connected world, building a community with a shares future in cyberspace", persidangan kali ini akan memaparkan hasil-hasil terkini perkembangan teknologi Internet, serta memfokuskan pemerkasaan teknologi digital untuk masa depan.

9. Bank Dunia: Filipina berhadapan masalah besar akibat perubahan iklim

Perubahan iklim telah menjejaskan kehidupan, harta dan mata pencarian rakyat Filipina dan mungkin menghalang matlamat negara itu untuk menjadi negara berpendapatan sederhana tinggi menjelang 2040, menurut laporan Bank Dunia pada Rabu.

10. Kekecohan | Raja Charles, Permaisuri Camilla dibaling telur

Seorang lelaki ditahan setelah didapati bersalah membaling telur ke arah pemerintah United Kingdom, Raja Charles III dan Permaisuri Camilla. Insiden itu berlaku ketika Charles dan Camilla dalam rangka lawatan mereka ke City of York, utara England.