ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 14 November 2022.

1. Suspek letupan bom di Istanbul ditahan - Menteri Dalam Negeri Turkiye

Menteri Dalam Negeri Turkiye Suleyman Soylu berkata seorang wanita yang meninggalkan sebuah beg berisi bahan letupan di Istanbul pada Ahad telah ditahan, lapor Sputnik, memetik penyiar awam TRT World.

2. Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden letupan di Istanbul

Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye mengesahkan setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia menjadi mangsa letupan bom di Jalan Istiklal, Taksim, pada Ahad.

3. Istiklal Avenue Istanbul dibuka kepada pejalan kaki selepas letupan

Istiklal Avenue Istanbul dibuka semula kepada pejalan kaki selepas letupan maut pada Ahad yang mengorbankan enam orang dan mencederakan 81 yang lain, lapor Agensi Anadolu (AA).

4. Natasa Pirc Musar Presiden wanita pertama Slovenia

Natasa Pirc Musar dipilih sebagai Presiden kelima Slovenia sekali gus bergelar Presiden wanita pertama negara itu.

5. Cacar monyet dikategori penyakit berjangkit mampu merebak di Vietnam

Kementerian Kesihatan Vietnam menyenaraikan cacar monyet sebagai penyakit berjangkit Kumpulan B, iaitu penyakit berjangkit berbahaya yang mampu merebak dengan cepat dan mungkin menyebabkan kematian.

6. Angka korban tragedi rempuhan Halloween Itaewon meningkat ke 158

Seorang lagi mangsa rempuhan Itaewon, Seoul disahkan meninggal dunia sekali gus menjadikan jumlah korban terkini mencecah 158, lapor agensi berita Yonhap.

7. MH17 | Hakim Belanda beri keputusan Khamis ini

Khamis ini, hakim Belanda akan memberikan keputusan mereka dalam prosiding perbicaraan empat lelaki yang dituduh menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014. Keputusan itu akan menyusul ketika mana ketegangan masih berpanjangan berhubung pencerobohan Moscow ke atas Kyiv, yang kini sudah mencecah sembilan bulan.

8. Isteri Jokowi terjatuh tangga semasa turun pesawat

Iriana Joko Widodo, isteri Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, terjatuh di tangga semasa turun dari pesawat Presiden.

9. ASEAN 2022 | Pemulihan ekonomi pasca pandemik dibincangkan

Dialog Global ASEAN kedua berlangsung di ibu negara Kemboja pada Ahad dengan tumpuan pada pemulihan mampan ekonomi pasca pandemik COVID-19. Berucap di forum itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen berkata dialog peringkat tinggi itu dijalankan khusus untuk menggalakkan pemulihan ekonomi serantau dan global.

10. Ekonomi UK | Rakyat UK diberi amaran cukai naik tidak lama lagi

Kerajaan UK memberi amaran akan berlaku kenaikan cukai, terutamanya bagi golongan kaya, dalam tempoh terdekat ini. Penganalis melihat, langkah itu bertujuan memulihkan kekacauan ekonomi yang berpunca daripada tempoh singkat Liz Truss sebagai Perdana Menteri sebelum ini.