ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 12 Jun 2023.

1. Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi meninggal dunia

Bekas perdana menteri Itali Silvio Berlusconi meninggal dunia pada usia 86 tahun pada Isnin, seorang jurucakap mengesahkan perkara itu kepada Agensi Berita Jerman (dpa).

2. Bakal calon Presiden Singapura boleh mohon Sijil Kelayakan

Calon berpotensi yang mahu bertanding Pilihan Raya Presiden Singapura (PE) bakal memohon Sijil Kelayakan bermula Selasa di bawah langkah pertama untuk merebut jawatan tertinggi itu.

3. Bangladesh janji terima semula Rohingya jika projek perintis penghantaran pulang gagal

Bangladesh pada Ahad mempertahankan projek perintis untuk menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar, dengan memberi jaminan bahawa mereka akan dibawa balik jika mereka berasa tidak selesa di Rakhine atau projek itu gagal.

4. Ukraine-Rusia: ICC mulakan siasatan awal runtuhan empangan

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy memaklumkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah memulakan siasatan awal berhubung runtuhan Empangan Kakhovka awal minggu ini.

5. Gunung berapi Mayon muntahkan asap, Filipina keluar amaran risiko kesihatan

Pihak berkuasa Filipina mengeluarkan amaran "risiko kesihatan" berikutan abu dan gas toksik yang dimuntahkan dari gunung berapi Mayon.

6. NATO adakan latihan tentera udara terbesar

Latihan tentera udara terbesar dalam sejarah NATO akan bermula di ruang udara Jerman pada Isnin dengan latihan selama dua minggu melibatkan kira-kira 10,000 askar dan 250 pesawat dari 25 negara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

7. Dua gempa bumi gegarkan Pulau Jawa

Dua gempa bumi bermagnitud 4.0 dan 2.5 melanda Jawa Timur dan Barat dalam tempoh dua setengah jam, pada Isnin.

8. AS akan sertai semula UNESCO

Amerika Syarikat (AS) akan menyertai semula organisasi pelajaran, saintifik dan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang berpangkalan di Paris, kata Ketua Pengarahnya Audrey Azoulay pada Isnin.

9. Bekas Eksekutif Samsung didakwa curi rahsia perdagangan

Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada Isnin mendakwa seorang bekas eksekutif kanan Samsung Electronics kerana mencuri rahsia perdagangan untuk membina sebuah kilang cip 'copycat', lapor Agensi Anadolu.

10. Arab Saudi jadi tuan rumah kepada 1,000 jemaah haji Palestin

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada acara tahunan program tetamu Penjaga Dua Masjid Suci yang dilaksanakan dan diselia oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi.