LEBIH AS$12.8 juta (RM51 juta) dilaporkan lesap dari akaun pemenang pingat emas Olimpik lapan kali, Usain Bolt, dengan sebuah firma pelaburan Jamaica dan misteri kehilangan itu kini di bawah siasatan polis dan kerajaan.

Pihak berkuasa Jamaica menerima aduan mengenai dakwaan penipuan di firma pengurusan kekayaan Stocks & Securities Ltd (SSL) pada 11 Januari lalu, dan salah satu yang terjejas ialah akaun milik Bolt, kata Selvin Hay, Ketua Pengarah Teknikal Bahagian Penyiasatan Kewangan Jamaica, kepada CNN.

Hay menambah bahawa siasatan, yang kini di peringkat awal, sedang dijalankan oleh Skuad Konstabel Penipuan Jamaica dan Bahagian Penyiasatan Kewangan.

Sepucuk surat daripada peguam Bolt, Linton Gordon, kepada SSL, yang telah dikongsi dengan CNN, memaklumkan bekas pelari pecut itu sedang dalam proses untuk mendapatkan semula AS$12.8 juta selepas baki akaun SSLnya "secara misteri" menunjukkan baki AS$12,000 (RM51,426).

Bolt, yang bersara daripada olahraga pada 2017, tidak membuat pengeluaran atau pemindahan daripada akaun itu, dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang jika wang itu tidak dikembalikan.

Ejen Bolt, Ricky Simms, mengesahkan kepada CNN bahawa siasatan terhadap dakwaan aktiviti penipuan di SSL sedang dijalankan, namun tidak dapat mengesahkan berapa banyak wang yang hilang dari akaun Bolt.

Selasa lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan (FSC) Jamaica telah mengambil alih pengurusan sementara SSL.

Dalam sidang akhbar pada hari Rabu, Everton McFarlane, pengarah eksekutif di FSC, memberitahu yang penipuan itu didakwa dilakukan oleh pengurus perhubungan pelanggan di SSL.

Maklumat itu bagaimanapun belum disahkan pihak berkuasa.