WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden sekali lagi memohon maaf kepada pemimpin dunia pada Jumaat atas penarikan diri AS daripada perjanjian iklim Paris 2016, dengan menekankan bahawa pentadbirannya telah berusaha supaya kepimpinan AS memulakan semula usaha untuk menangani fenomena global.

"Kami serta-merta menyertai semula Perjanjian Paris.

"Kami mengadakan sidang kemuncak iklim utama, saya memohon maaf kami pernah menarik diri daripada perjanjian ini," katanya pada sidang kemuncak iklim PBB yang berlangsung di bandar peranginan Sharm el-Sheikh Mesir, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bekas Presiden AS Donald Trump memulakan proses untuk meninggalkan Perjanjian Paris 2016 sejurus selepas beliau memegang jawatan pada 2017, namun beberapa jam selepas Biden mengambil alih jawatan, beliau mengumumkan AS akan kembali dalam pakatan itu.

Perjanjian itu bertujuan untuk mengekang pelepasan karbon global bagi membendung kenaikan berterusan suhu global.

Biden yang mengakui usaha pentadbirannya untuk meningkatkan usaha AS menerajui perubahan iklim, berkata mereka telah "mencapai kemajuan yang belum pernah berlaku di negara mereka sendiri" sepanjang hampir dua tahun beliau memegang jawatan.

"Dari hari pertama saya memegang jawatan, pentadbiran saya telah memimpin dengan agenda berani untuk menangani krisis iklim dan meningkatkan keselamatan tenaga di rumah dan di seluruh dunia," katanya pada Persidangan Ke-27 Pihak-pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27).

"Kami membuktikan bahawa dasar iklim yang baik adalah dasar ekonomi yang baik," tambahnya, sambil berkata pelaburan AS dalam dasar iklim akan "mengalih paradigma untuk AS dan seluruh dunia."

-- BERNAMA