PRESIDEN Joe Biden mempertahankan keputusan mengundurkan tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan.

Katanya, majoriti rakyat setuju dengan keputusan itu.

Kenyataan ini dibuat beliau ketika menghadiri sambutan ulang tahun ke-20 serangan 11 September, yang mencetus perang Amerika di Asia Barat.

"Sekiranya anda kata kita perlu membelanjakan ASD300 juta sehari untuk 20 tahun bagi menyatukan semula negara ini selepas kita berjaya menghapuskan Osama bin Laden, dan Al-Qaida.

"Adakah Al-Qaida akan kembali? Apakah strateginya? Mustahil kita mahu menceroboh di semua tempat di mana Al-Qaida berada dan tempatkan tentera kita di sana.

"70 peratus rakyat berpendapat sudah tiba masanya untuk berundur dari Aghanistan," katanya kepada media ketika melawat Jabatan Sukarelawan Bomba Shanksville di Pennsylvania.

Beliau berada di premis itu untuk menzahirkan penghargaan kepada anggota yang terlibat sebagai pasukan pertama tiba di lokasi nahas pesawat 11 Sept 2001.

Biden dalam pada itu turut menarik perhatian berhubung perpecahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.

Beliau menyeru supaya mereka yang berbeza pendapat meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan dan bersatu kembali.

Barack Obama, isterinya Michelle Obama, Joe Biden dan isterinya Jill Biden ketika hadir di Memorial & Muzium Negara 9/11 di New York, 11 Sept, 2021.

Sementara itu, Tapak Memorial 9/11 di New York dinyalakan sempena ulang tahun persitiwa yang ke-20 pada Sabtu.

Biden dijadual melakukan lawatan ke ketiga-tiga lokasi serangan iaitu Pusat Dagangan Dunia New York, Pentagon dan padang berhampiran Shanksville, Pennsylvania.

Bagi lawatan ke tapak menara kembar di New York, beliau ditemani bekas presiden Barack Obama, serta presiden yang mentadbir Amerika Syarikat ketika serangan berlaku, George W Bush.

Menurut laporan, bekas presiden Donald Trump tidak akan turut serta, dan akan hanya tiba selepas Biden meninggalkan bandar tersebut.

Pelbagai acara diatur di Amerika Syarikat bagi memperingati ulang tahun ke 20 serangan 9/11.