NEW YORK: Angka kematian membabitkan profesion kewartawanan dan media pada 2022 meningkat lebih 40 peratus berbanding tahun lepas, lapor Agensi Akhbar Jerman, dpa.

Menurut laporan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) yang dikeluarkan pada Jumaat, seramai 67 petugas media terbunuh di tempat kerja setakat tahun ini - meningkat daripada 47 pada 2021.

"Peningkatan jumlah kematian membabitkan wartawan dan petugas media mendatangkan kebimbangan yang besar dan kerajaan di seluruh dunia digesa mengambil tindakan mempertahankan kewartawanan, satu bidang yang menjadi antara tonggak utama demokrasi," Setiausaha Agung IFJ Anthony Bellanger berkata dalam satu kenyataan.

Peperangan di Ukraine, pergolakan di Haiti, keganasan yang semakin meningkat di Colombia serta aktiviti jenayah di Mexico menjadi penyumbang utama kepada lonjakan kes, menurut pertubuhan yang mewakili kira-kira 600,000 wartawan di 146 negara.

"Secara keseluruhan, Ukraine dikelaskan sebagai negara paling berbahaya untuk pengamal media, dengan 12 kematian dilaporkan, manakala Amerika Utara dan Selatan dikategori sebagai wilayah paling berbahaya, dengan 29 kematian.

Laporan yang dikeluarkan sempena Hari Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga mendedahkan bahawa "sekurang-kurangnya 375 pengamal media kini dipenjarakan kerana laporan mereka.

Kebanyakan mereka menjalani hukuman penjara di China, Myanmar, Turkiye, Iran dan Belarus.

Kumpulan itu menuntut "tindakan segera" daripada masyarakat antarabangsa untuk melindungi wartawan di seluruh dunia.

-- BERNAMA