SEORANG guru di Amerika Syarikat telah ditahan selepas dikatakan meletakkan anaknya yang positif COVID-19 dalam but kereta.

Dia berbuat demikian bagi melindungi dirinya daripada terdedah kepada virus itu semasa dalam perjalanan ke pusat kesihatan bagi melakukan ujian saringan, lapor media tempatan.

Sarah Beam, 41, dilaporkan akan didakwa dengan tuduhan membahayakan nyawa kanak-kanak.

Seorang saksi menghubungi polis selepas mendengar suara dalam but kereta itu dalam kejadian pada 3 Januari lalu di Harris County, Texas.

Beam berkata anak lelakinya yang berusia 13 tahun telah disahkan positif COVID-19 dan dia membawanya ke Stadium Pridgeon untuk saringan bagi mengesahkan ujian awal itu.

Dia dilaporkan telah mengakui meletakkan anaknya dalam but kereta kerana tidak mahu dirinya dijangkiti.

Beam bekerja sebagai guru di Sekolah Tinggi Cypress Falls sejak 2011, tetapi kini digantung tugas sementara, menurut media tempatan.

"Penguatkuasa undang-undang menjalankan siasatan penuh dan telah mengeluarkan waran tangkap. Mujur remaja itu baik-baik sahaja," kata kenyataan dari Jabatan Polis ISD Cy-Fair.

Sarjan Richard Standifer, dari Jabatan Keselamatan Awam Texas, memberitahu stesen TV tempatan KHOU 11 remaja lelaki itu boleh mengalami cedera parah jika berlaku kemalangan.

"Saya tidak pernah mendengar orang diletakkan dalam but kereta hanya kerana mereka didapati positif, tak kisahlah penyakit apa sekali pun," kata Standifer.