WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) berkata, Boeing mempunyai lebih banyak kerja yang perlu dilakukan selepas pengeluaran pesawat jet 737 Max masih dalam penelitian susulan dua nahas yang mengorbankan 346 nyawa.

Ketua FAA, Steve Dickson yang memberi keterangan di hadapan Senat Amerika Syarikat berkata, Boeing tidak lagi sama seperti dua tahun lalu tetapi masih banyak perlu dilakukan.

Dickson memberitahu Jawatankuasa Pengangkutan Senat mengenai pembaharuan keselamatan penerbangan.

Beliau juga berkata, pihaknya telah menetapkan semula hubungan dengan Boeing tanpa syarat yang pasti.

FAA telah menetapkan beberapa tanggungjawab kepada Boeing untuk pensijilan dan memberitahu jawatankuasa itu mereka menuntut lebih ketelusan.

Sebuah jet Boeing Max terhempas pada 2018 di Indonesia, diikuti dengan insiden kedua pada 2019 di Ethiopia.

Dalam kedua-dua insiden itu, juruterbang dilaporkan gagal mengawal pesawat disebabkan masalah teknikal sehingga menyebabkan pesawat itu menjunam sebelum terhempas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa, Maria Cantwell berkata, beliau merancang pendengaran dan laporan mengenai pemberi maklumat penerbangan sebelum akhir tahun ini.

Kongres meluluskan undang-undang membenarkan pengawasan FAA terhadap pembuatan pesawat yang memerlukan pendedahan maklumat keselamatan kritikal dan menyediakan perlindungan untuk pemberi maklumat.

Cantrell berkata, pihaknya perlu mempunyai pengawasan FAA yang lebih kuat.