PERDANA Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson dilaporkan telah bersetuju untuk meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Konservatif selepas kehilangan sokongan Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen, lapor BBC.

Jawatan pemimpin Konservatif akan dipertandingkan pada musim panas ini sebelum Perdana Menteri baharu dilantik menjelang persidangan parti itu pada Oktober.

Namun, sehingga persidangan itu, Johnson akan kekal sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu, sekumpulan anggota kabinet meletak jawatan sebagai gesaan terhadap Johnson untuk meletak jawatan.

Siri peletakan jawatan itu dimulakan oleh bekas Canselor Rishi Sunak dan bekas Menteri Kesihatan Sajid Javid.

Johnson dilaporkan akan memberikan kenyataan peletakan jawatan beliau di luar 10 Downing Street dalam masa terdekat ini.