AKTRES popular Hollywood, Angelina Jolie memfailkan tindakan mahkamah terhadap bekas suaminya, Brad Pitt, atas dakwaan aktor tersebut menyerangnya dan anak-anak mereka semasa berada dalam pesawat peribadi.

Menurut Jolie, insiden itu juga menjadi antara sebab dia memfailkan perceraian.

Dalam tuntutan mahkamah itu, Jolie mendakwa, Pitt memegang kepalanya dan menyerang dua anak mereka dalam perjalanan pada tahun 2016 itu, lapor portal berita BBC.

Pitt juga dilaporkan mendera secara lisan dan mencurah alkohol kepada keluarganya dalam penerbangan dari Perancis ke Los Angeles itu.

Bagaimanapun, Pitt menafikan dakwaan itu.

Sumber yang rapat dengan aktor itu memberitahu BBC, dakwaan Jolie adalah palsu.

"Jolie terus menyusun semula, mengubah dan membayangkan semula peristiwa yang berlaku enam tahun lalu dengan menambah maklumat yang sama sekali tidak benar setiap kali dia gagal mendapatkan apa yang dia mahukan.

"Kisahnya sentiasa berubah dan berkembang," kata sumber tersebut.

Peguam Jolie mendakwa, dalam insiden pada 2016 itu, bintang Fight Club tersebut menjerit, menuduh Jolie ebagai "terlalu berlembut dengan anak-anak."

Tidak lama kemudian, Pitt menarik Jolie ke bilik mandi di belakang pesawat, menurut tuntutan mahkamah yang difailkan Jolie.

"Pitt memegang kepala Jolie dan menggoncangnya dan kemudian memegang bahunya dan menggoncangnya semula sebelum menolaknya ke dinding bilik mandi.

"Pitt kemudian menumbuk siling pesawat berkali-kali, menyebabkan Jolie keluar dari bilik air," menurut fail mahkamah tersebut.

Selepas salah seorang anaknya campur tangan secara lisan, Pitt 'menyerang' anaknya sendiri", kata laporan itu lagi.

"Jolie kemudian memegangnya dari belakang untuk menghalangnya," menurut kertas pertuduhan.

Anak-anak pasangan itu kemudian bergegas masuk dan cuba melindungi satu sama lain sebelum Pitt mencekik salah seorang kanak-kanak dan memukul seorang lagi di muka.

Peguam Jolie berkata, aktres itu dan anak-anaknya "duduk diam dan senyap di bawah selimut" sehingga pesawat tersebut mendarat.

Pemfailan mahkamah dibuat Jolie itu mendedahkan ketegangan melibatkan pasangan itu mengenai rancangan mereka untuk kilang wain yang dibeli bersama sebelum ini.