LONDON: Syarikat penerbangan British Airways buat kali pertama dalam tempoh hampir 20 tahun memperkenalkan pakaian seragam baharu, jumpsuit dengan menyertakan pilihan tunik.

Malah, kru kabin wanita beragama Islam turut dibenarkan memakai tudung semasa bertugas.

British Airways menyifatkan rombakan seragam itu sebagai 'airlines first' dan seramai 30,000 kakitangan barisan hadapan syarikat tersebut akan dilihat dengan pakaian seragam baharu itu menjelang musim panas ini.

Reka bentuk pakaian seragam itu dihasilkan oleh pereka fesyen Britain, Ozwald Boateng selama lima tahun dan telah ditangguhkan sejak 2020 akibat pandemik COVID-19.

Pakaian seragam itu juga menyediakan alternatif buat kru kabin lelaki yang boleh memilih untuk memakai sut tiga helai yang dipadankan bersama, manakala wanita boleh memakai gaun, skirt atau seluar selain daripada jumpsuit.

"Lebih 1,500 kakitangan mengambil bahagian dalam 50 bengkel untuk membantu memastikan kesesuaian pakaian dan mereka secara rahsia telah menguji pakaian seragam baharu ini selama enam bulan dalam penerbangan kargo," kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif British Airways, Sean Doyle. -Sinar Harian/Agensi