AMERIKA Syarikat akan membuka sempadannya kepada pengembara yang lengkap divaksin bermula 8 Nov ini.

Kebenaran itu bagaimanapun terhad hanya kepada individu dari 33 buah negara.

Keputusan ini menamatkan larangan perjalanan ketat yang dilaksanakan sejak pandemik COVID-19 melanda 21 bulan yang lalu.

Pengembara bagaimanapun perlu menjalani ujian saringan 72 jam sebelum berlepas dan mendapat keputusan negatif.

White House pada 20 Sept lalu mengumumkan AS akan menamatkan sekatan terhadap pengembara udara dari 33 negara pada awal Nov. Ketika itu, tiada tarikh tepat diberikan.

Oleh itu, mulai 8 Nov, Amerika Syarikat akan menerima pelancong asing yang divaksinasi sepenuhnya dari 26 negara Eropah, termasuk Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Switzerland dan Greece, serta Britain, Ireland, China, India, Afrika Selatan, Iran dan Brazil.

Peraturan sedia ada melarang kemasukan individu bukan warganegara yang pernah melawat negara berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Polisi ini menimbulkan kontroversi, ketika majoriti pengembara dari 150 negara lain, yang bergelut dengan kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi dibenarkan memasuki negara berkenaan.

Sementara itu, White House juga mengumumkan, individu yang hanya menerima satu suntikan vaksin diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan mendapat kelulusan dari senarai kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai layak memasuki negara itu. 

COVID-19 | AS buka sempadan kepada pengembara dari 33 negara