WASHINGTON DC: Hanya 10 peratus daripada vaksin cacar monyet di Amerika Syarikat diberi kepada komuniti kulit hitam, walaupun komuniti tersebut merangkumi satu pertiga daripada keseluruhan kes di negara itu.

Itu dapatan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dari 17 negeri dan dua bandar di Amerika Syarikat.

Para pakar percaya bahawa jurang pemberian vaksin antara kumpulan etnik berpunca daripada lokasi pemberian vaksin yang mungkin lebih tertumpu kepada kawasan-kawasan dengan majoriti penduduk etnik lain.

Ia juga mungkin berpunca daripada kurang kepercayaan dalam kalangan kumpulan etnik berkenaan terhadap doktor dan pihak berkuasa.

Jurang itu turut menjadi ketara ketika pandemik COVID-19, apabila beberapa kumpulan etnik didapati lebih terkesan akibat jangkitan virus tersebut, namun kurang mendapat suntikan vaksin.

Pada Jumaat, pentadbiran Presiden Joe Biden berkata, bekalan vaksin cacar monyet di negara itu sudah mencukupi untuk kempen pemberian dos pertama.

Manakala bekalan vaksin untuk pemberian dos kedua akan disediakan menjelang hujung bulan depan.