HOUSTON: Texas umum kes jangkitan pertama cacar monyet ke atas kanak-kanak.

Pegawai Tertinggi Harris County, Lina Hidalgo berkata, kanak-kanak itu yang berusia di bawah dua tahun telah diuji positif.

Bagaimanapun daerah itu masih menunggu pengesahan akhir daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Pengesahan berkenaan akan mengambil masa seminggu.

Hidalgo berkata kanak-kanak itu mengalami ruam namun kesihatannya stabil.

Daerah itu kini melakukan pengesanan kontak rapat dengan bantuan keluarga kanak-kanak itu.

Katanya kanak-kanak itu tidak pernah berada di pusat jagaan harian atau sekolah serta tiada ahli keluarga lain yang menghidap virus itu.

Hidalgo berkata, Harris County setakat ini mempunyai kira-kira 270 kes cacar monyet.