GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang meneliti laporan menyebut virus cacar monyet dikesan dalam air mani pesakit, sekali gus meneroka kemungkinan penyakit itu boleh berjangkit menerusi aktiviti seksual.

Ketika ini, agensi berkenaan percaya virus berkenaan berjangkit menerusi kontak rapat secara peribadi.

Pengurus kes cacar monyet WHO Eropah, Catherine Smallwood, sebelum ini berkata sejak beberapa hari lalu, saintis dilaporkan mengesan viral DNA dalam air mani beberapa pesakit cacar monyet di Itali dan Jerman.

Kerana itu katanya, tumpuan juga wajar diberikan terhadap kaedah jangkitan paling kerap dan perkaitan dengan sentuhan antara kulit dengan kulit.

Lebih 1,300 kes penyakit berjangkit itu dikesan di kira-kira 30 negara, dengan sebahagian besarnya di Eropah sejak awal bulan lalu.

Kebanyakan kes yang dilaporkan itu membabitkan pesakit lelaki yang menjalin hubungan seks dengan lelaki.

Baru-baru ini di Rom, kehadiran virus cacar monyet dikesan dalam air mani beberapa pesakit di Itali, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada penyakit itu boleh dijangkiti secara seksual.

Virus cacar monyet difahami boleh dijangkiti melalui kontak rapat dengan mereka yang telah dijangkiti melalui ciri uniknya iaitu kesan melepuh pada kulit dan titisan cecair dari mulut atau hidung.

Kebanyakan kes yang dikenal pasti semasa penularan kini adalah pasangan seksual yang mempunyai kontak rapat.

Namun, penyakit jangkitan kelamin seperti HIV/AIDS, dan siplis difahami berpunca daripada patogen diberi daripada seseorang kepada yang lain menerusi air mani, cecair faraj atau cecair badan lain.