Cathay Pacific tersilap jual tiket harga AS$16,000 pada harga AS$675

Azyyati Ahmad
Januari 4, 2019 04:09 MYT
Cathay Pacific dalam twit terbarunya menganggap kesilapan itu sebagai kejutan terbaik buat pelanggan.
SYARIKAT penerbangan antarabangsa Cathay Pacific mungkin telah ‘beramal’ lebih pada jualan murah tahun baru mereka apabila dengan secara tidak sengaja menjual tiket penerbangan kelas pertamanya dari Vietnam ke New York pada harga AS$675 (RM2,794).
Harga sebenar bagi tiket berkenaan difahamkan sepatutnya berharga AS$16,000 (RM66,224), tetapi oleh kerana kesilapan teknikal ia menjadi 30 kali ganda lebih murah.
Cathay Pacific dalam twit terbarunya menganggap kesilapan itu sebagai kejutan terbaik buat pelanggan yang telah membelinya, serta mengalu-alukan kehadiran mereka di penerbangan berkenaan.
"Ya, kami membuat kesilapan, tetapi kami tidak sabar untuk meraikan anda dalam penerbangan kami. Semoga ia menjadi tahun '2019' yang istimewa buat anda juga!” tulis Cathay Pacific dalam twit tersebut.

Happy 2019 all, and to those who bought our good - VERY good surprise special on New Years Day, yes - we made a mistake but we look forward to welcoming you on board with your ticket issued. Hope this will make your 2019 special too! .#promisemadepromisekept #lessonlearnt

— Cathay Pacific (@cathaypacific) January 2, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Lapor portal berita The Guardian, berita mengenai tawaran murah berkenaan pada mulanya disebarkan oleh beberapa blog pelancongan seperti Gary Leff dan One Mile at a Time yang turut mendapati harga tiket dari Hanoi ke Vancouver hanya berharga AS$988 (RM4,089).
Cathay Pacific bagaimanapun tidak memberi respons kepada permintaan The Guardian untuk mengulas mengenai bilangan penerbangan yang terjual pada harga yang jatuuh menjunam itu.
Cathay Pacific juga dilihat telah menutup penjualan semua penerbangan kelas perniagaan dan kelas pertama untuk bulan Ogos dari laman webnya, tetapi penerbangan yang sama pada bulan September disenaraikan pada harga AS$16,000.
#Cathay Pacific #New York #pelancongan #penerbangan #Vietnam