Pentadbiran kota Jakarta telah mengenakan denda 10 juta rupiah (RM2,912) terhadap restoran makanan segera McDonald's di bandar raya itu kerana mencetuskan situasi yang membuatkan orang ramai berkumpul.

Semuanya gara-gara menganggap sesi mengenang nilai sentimental melebihi arahan pematuhan penjarakan sosial yang dikuatkuasakan dalam musim penularan COVID-19.

Cawangan yang terletak di pusat beli-belah Sarinah itu mengumumkan untuk menutup operasinya pada 10 Mei lalu selepas hampir 30 tahun menjadi sebahagian daripada persinggahan pilihan warga tempatan. Ia merupakan cawangan McDonald's pertama di Indonesia.

Pusat beli-belah tersebut akan menjalani proses pengubahsuaian mulai bulan depan, lantas memaksa penutupan semua penyewa di dalamnya.

Dianggarkan kira-kira 300 orang pelanggan berpusu-pusu ke restoran berkenaan untuk menyaksikan pekerja menutup restoran buat kali terakhir. Pemilik cawangan pula menggunakan peluang itu untuk memberikan cenderamata dan juga mengucapkan terima kasih kepada pelanggannya.

Mereka leka mengambil gambar, merakam video dan saling bersesakan di perkarangan hadapan pintu utamanya.

Kehadiran orang ramai itu telah sah melanggar kawalan sosial di Jakarta, yang dilaksanakan untuk mengekang penyebaran COVID-19.

Di bawah undang-undang kawalan berkenaan, perjumpaan dalam kumpulan besar lebih daripada lima orang adalah tidak dibenarkan.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Badan Ketertiban Umum Jakarta memaklumkan, pihak pengurusan restoran terbabit telah dipanggil untuk soal siasat.

"Kami telah memberi penerangan tentang mengapa perkara itu dianggap kelalaian di pihak pengurusan restoran.

Pihak mereka mengakui kesalahan kerana gagal mengambil langkah yang sepatutnya untuk mengelakkan situasi itu.

"Kami berharap peniaga dan orang ramai lebih berdisiplin dalam mematuhi perintah kawalan sosial," kenyataan itu menyebut.