NEW DELHI: Cendekiawan terkenal di India Maulana Syed Muhammad Rabey Hasani Nadwi meninggal dunia pada usia 93 tahun di bandar Lucknow Khamis.

Beliau berkhidmat sebagai presiden All India Muslim Personal Law Board (AIMPLB), sebuah badan utama ulama dan penaung universiti Islam terkenal Darul Uloom Nadwatul Ulama di Lucknow - kira-kira 530 kilometer dari New Delhi.

Maulana Rabey meninggal dunia kerana sakit tua.

"Kami memohon semua orang untuk mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat," menurut AIMPLB.

Maulana Rabey mengarang berpuluh-puluh buku dalam bahasa Arab dan Urdu serta terkenal kerana keilmuannya.

Satu daripada buku terkenal beliau ialah Rahbar-e-Insaniyat, biografi Nabi Muhammad.

"Maulana Rabey adalah antara personaliti Muslim terhebat di India.

Beliau adalah pemikir konsensus mengenai bidang teologi dan pandangannya dihormati secara meluas," kata intelektual Zafarul Islam Khan.

Rahul Gandhi, Akhilesh Yadav dan Mayawati adalah antara ahli politik terkemuka yang mengucapkan takziah atas kematiannya.

"Seorang sarjana Islam yang terkenal, sumbangannya kepada kemajuan pendidikan akan sentiasa diingati," kata presiden parti Kongres Mallikarjun Kharge dalam ciapan di Twitter.

Ribuan jemaah termasuk pelajar dan guru menyertai solat jenazahnya yang diadakan di Darul Uloom pada Khamis malam.

Jenazahnya dibawa ke kampung halaman di daerah Raebareli, 80 kilometer dari Lucknow untuk dikebumikan pada pagi Jumaat.

-- BERNAMA