KEHILANGAN orang yang tersayang merupakan satu perkara yang amat menyedihkan bagi semua insan tidak kira lelaki atau wanita, miskin atau kaya.

Perasaan sedih pilu tentunya akan menyelubungi setiap individu yang kehilangan orang yang disayangi. Kehilangan yang akan menjadi kerinduan yang tidak berpenghujung.

Begitulah yang berlaku terhadap seorang lelaki yang dikenali sebagai Ihsan dari Makassar, Indonesia yang kehilangan isteri akibat COVID-19.

Menerusi akaun Twitternya, Ihsan bercerita saat sebelum allahyarham isterinya dimaklumkan positif COVID-19.

Cerita Ihsan, tanggal 18 September lalu, isterinya allahyarham Amirah Lahaya, 31, ingin menonton adegan Hayati membaca surat perpisahan dengan Zainuddin dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk.

Kepada Ihsan, keinginan isterinya menonton adegan tersebut seolah-olah satu pesanan bahawa mereka berdua juga akan terpisah.

15 minit selepas selesai menonton filem tersebut, Ihsan dihubungi doktor yang memaklumkan isterinya positif COVID-19.

"Tepat 7 hari lalu, Jumat (18/09/2020), saat masih di-opname (dirawat) di RS (hospital) non-COVID (bukan pesakit COVID-19), kamu ingin menonton adegan ketika Zainuddin dan Hayati berbincang di akhir filem, di mana Hayati membacakan surat perpisahannya.

"Seolah itu pesanmu sendiri kepadaku bahawa sebentar lagi kita akan berpisah.

"Kita selesai menonton filem itu pada pukul 10 pagi. Tidak lebih dari 15 minit kemudian, doktor menelefonku, aku teresak.

"Aku sengaja mengambil jarak darimu. Doktor mengatakan hasil swab kelmarin positif. Di sanalah Allah memberikan tanda kepergianmu," tulis Ihsan.

Amirah bagi Ihsan bukan sekadar seorang isteri dan ibu kepada anak tunggal mereka, Aruna Zakiyah Ihsan, 16 bulan, tetapi wanita itu merupakan guru yang menjadikan dirinya lebih baik.

Ketika bersama, Amirah sering memberikan semangat dan mendoakan Ihsan serta menjaga nama baiknya sebagai suami.

Amirah pergi buat selamanya tanggal 23 September 2020, tiga hari selepas mengucapkan selamat hari lahir buat Ihsan.

Kisah mereka menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial di Indonesia. Negara itu kini masih bergelut dalam gelombang pertama pandemik, yang menyaksikan peningkatan jumlah jangkitan baharu setiap hari.