TAIPEI: Pemerintah Taiwan mengancam untuk mengheret Beijing ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) selepas China menghentikan pengimportan ikan kerapu dari pulau itu dengan alasan telah mengesan penggunaan bahan kimia terlarang.

Perkembangan itu adalah yang terkini berkaitan pertelingkahan agrikultur antara kedua-duanya.

Tahun lalu, China menggantung pengimportan buah nanas, buah nona dan buah jambu air dari Taiwan, dengan memberi alasan tentang pengesanan serangga perosak. Taiwan bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Hubungan antara Taipei dan Beijing sekarang ini disifatkan paling tegang sejak berdekad-dekad lalu, lebih-lebih lagi apabila China meningkatkan tekanan politik dan ketenteraan hanya untuk membuatkan rakyat Taiwan benar-benar menerima hakikat bahawa ia kini di bawah kuasa pemerintahan Tanah Besar.

Penguat kuasa jabatan kastam China pada Jumaat berkata, pihaknya sudah beberapa kali mengesan unsur bahan kimia terlarang dalam bekalan ikan kerapu dari Taiwan dan akan menggantung aktiviti import bermula Isnin.

Langkah itu dibuat dengan alasan untuk ‘mencegah risiko dan melindungi kesihatan dan nyawa konsumer’.

Menteri Pertanian Taiwan, Chen Chi-chung menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya, dan menegaskan bahawa bekalan ikan berkenaan tidak bermasalah, serta sedia memberikan data kepada China seterusnya menantikan respons.

Sekiranya China tidak memberi maklum balas, maka Taiwan tidak akan teragak-agak membawa isu berkenaan ke WTO, katanya.

Jurucakap Kabinet, Lo Ping-cheng berkata, China sudah berulang kali memboikot dan menyekat produk agrikultur dan akuatik dari Taiwan, yang dilihat tidak selari dengan amalan antarabangsa.

Ia bukan sahaja mencalarkan hubungan Taiwan dan China, malah membuatkan rakyt Taiwan semakin benci pada pihak berkuasa Parti Komunis China kerana penindasan ke atas Taiwan.

Dalam perkembangan lain, China bertegas untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan Taiwan tidak meneruskan usaha mengisytihar kebebasan wilayah pentadbirannya.