BEIJING: China melarang kanak-kanak negara itu daripada bermain permainan dalam talian (online games) lebih daripada 3 jam seminggu.

Agensi berita AP melaporkan, larangan itu adalah yang paling ketat ke atas industri permainan, seiring usaha penguat kuasa undang-undang memantau sektor teknologi dengan lebih serius.

Bermula 1 September, kanak-kanak di negara itu kini hanya boleh bermain permainan dalam talian antara jam 8 hingga 9 malam pada Jumaat, hujung minggu dan cuti umum, menurut satu notis daripada pihak berkuasa.

Peraturan itu mengehadkan waktu permainan itu kepada tiga jam seminggu sepanjang tahun. Had waktu itu berkurangan lagi berbanding peraturan yang ditetapkan pada tahun 2019, iaitu membolehkan kanak-kanak di bawah umur bermain permainan tersebut selama satu setengah jam sehari dan tiga jam pada cuti umum.

Peraturan baharu itu ternyata menjejaskan beberapa syarikat teknologi terbesar China, termasuk gergasi permainan online, Tencent, yang popular menerusi permainan berbilang pemain, Honor of Kings, serta syarikat NetEase.

Harga saham Tencent telah ditutup pada paras 0.6% iaitu HK$465.80 pada Isnin susulan pengumuman itu. Penguasaan pasaran sejumlah $573 bilion kini merosot kepada $300 bilion. Penurunan itu sama dengan jumlah nilai Nike Inc atau Pfizr Inc.

Larangan bermain permainan itu adalah sebahagian daripada pemantauan ketat dan penguatkuasaan ke atas syarikat teknologi, berikutan kebimbangan bahawa firma teknologi meninggalkan pengaruh besar dalam masyarakat.

Awal bulan ini, Tencent berkata, pihaknya akan mengehadkan waktu bermain kanak-kanak bawah umur kepada sejam setiap hari dan dua jam ketika cuti umum, serta melarang kanak-kanak di bawah usia 12 tahun membuat pembelian dalam permainan.

Syarikat itu mengenakan peraturan tersebut selepas tersiar satu laporan dalam akhbar pemerintah, yang mendakwa industri permainan dalam talian kini menjadi ‘ketagihan spiritual’.

Pihak berkuasa  berkata, mereka akan meluaskan pemantauan dan meningkatkan kekerapan pemeriksaan ke atas syarikat permainan dalam talian untuk memastikan peraturan baharu itu dipatuhi.