China memberikan paten vaksin COVID-19 pertamanya kepada ciptaan vaksin vektor adenovirus yang dibangunkan oleh pasukan Akademi Sains Perubatan Tentera dan syarikat bioteknologi China Cansino Biologics.

Pentadbiran Harta Intelek Nasional China memaklumkan, paten itu telah diserahkan untuk permohonan oleh pasukan yang diketuai pakar penyakit berjangkit Tentera China, Chen Wei, pada 18 Mac dan diluluskan pada 11 Ogos.

Vaksin, tersebut dikenali sebagai "Ad5-nCoV", menggunakan virus selesema yang lemah untuk memperkenalkan bahan genetik dari coronavirus novel ke dalam tubuh manusia.

Ia bertujuan melatih tubuh menghasilkan antibodi yang mengenali protein COVID-19 dan melawannya.

Menurut penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Lancet bulan lalu, ujian klinikal tahap dua menunjukkan ia selamat dan mampu menimbulkan tindak balas imun.

BACA: Vaksin COVID-19 Rusia agak 'luar biasa' - Pakar


BACA: Vaksin COVID-19 'Sputnik V' ciptaan Rusia laris meskipun masih dalam proses ujian klinikal

Sementara itu, ujian klinikal fasa-tiga sedang dalam proses dan akan merangkumi lebih banyak peserta serta dilakukan di luar negara.

Pakar menyebut, vaksin vektor adenovirus sebagai teknik yang menjanjikan keselamatan dan berpotensi melawan COVID-19 berdasarkan bukti terkini.

Ia juga dapat dihasilkan secara besar-besaran.

Ketika ini, Britain dan Rusia juga sedang berusaha untuk membangunkan vaksin tersebut menggunakan teknologi sama.