BEIJING: China akan meneruskan kolaborasi rapat dengan masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata China telah menghantar lebih 50,000 individu untuk menyertai operasi pengaman PBB di lebih 20 negara dan wilayah dalam tempoh 33 tahun lalu.

Menurut beliau, China merupakan pendana kedua terbesar dan penyumbang tentera terbesar dalam kalangan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bagi usaha pengaman PBB, dengan terdapat lebih 2,200 tentera China bertugas di lapan kawasan misi ketika ini.

"China akan terus bersinergi dengan masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi pengaman PBB, sekali gus menyumbang kepada keamanan dan keselamatan dunia," kata Mao semasa sesi taklimat di sini, pada Selasa.

Pada 1990, China buat kali pertama menghantar pemerhati ketenteraan ke PBB dan dua tahun selepasnya mengerah tentera pengaman untuk menyertai misi berkenaan.

-- BERNAMA