BEIJING: Sejenis virus baharu yang disebarkan kepada manusia daripada haiwan, telah menjangkiti 35 orang di wilayah Shandong dan Henan, menurut kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada bukti terdapat penularan dari manusia kepada manusia.

Henipavirus (juga dipanggil Langya henipavirus atau LayV) pertama kali dikesan pada akhir 2018 tetapi telah dikenal pasti secara rasmi oleh saintis pada minggu lepas, lapor The Guardian.

Ia ditemui melalui sistem pengesanan awal untuk pesakit yang mengalami demam dan mempunyai sejarah terdedah kepada haiwan, lapor Bloomberg.

Virus itu ditemui selepas calitan kerongkong diambil daripada pesakit yang kebanyakannya terdiri daripada petani.

Dua virus daripada keluarga yang sama telah dikenal pasti sebelum ini iaitu virus Hendra dan virus Nipah.

Kedua-duanya boleh menyebabkan gejala teruk dan kadangkala membawa maut. Tiada vaksin atau rawatan, lapor The Sun.

Kajian itu berkata 26 daripada 35 kes jangkitan henipavirus Langya di wilayah Shandong dan Henan telah mengalami gejala klinikal seperti demam, batuk, anoreksia, loya, sakit kepala dan muntah.

Setakat ini, kes itu tidak membawa maut dan tidak membawa gejala serius, kata Profesor Wang Linfa dari Program Penyakit Berjangkit di Sekolah Perubatan Duke-NUS di Singapura yang terlibat dalam kajian itu.

Namun, beliau menegaskan ia bukan alasan untuk tidak berwaspada kerana virus adakalanya sukar diramalkan apabila ia mula menjangkiti manusia.

Pakar masih mengkaji sama ada ia boleh merebak daripada seorang manusia kepada yang lain.