PENULARAN pandemik COVID-19 dilihat telah memberi impak negatif yang besar kepada ekonomi Singapura.

Sektor pembinaan, pembuatan dan pengangkutan antara sektor yang paling teruk terjejas akibat penularan wabak ini, yang sekali gus memberi kesan kepada kehidupan harian rakyatnya.

Ekoran pengurangan pergerakan antarabangsa dan penutupan perniagaan, Kementerian Tenaga Kerja Singapura melaporkan jumlah mereka yang dibuang kerja sejak Januari telah meningkat.

Keadaan dijangka terus memburuk dalam beberapa bulan akan datang, dengan unjuran pakar ekonomi meramalkan sekitar 200,000 orang akan hilang pekerjaan di Singapura pada tahun 2020.

Kajian dilakukan Berkshire Media melibatkan 12,364 responden warga Singapura. - Foto Berkshire Media

Pemotongan gaji, pengurangan bajet dan pembekuan pengambilan tenaga kerja merupakan antara pendekatan diambil sesetengah syarikat, dengan ada antara mereka melaksanakan pemberhentian secara senyap iaitu melalui permintaan pemberhentian atau pemindahan ke jabatan lain berserta pemotongan gaji.

Berdasarkan kajian yang dilakukan Berkshire Media terhadap 12,364 responden warga Singapura menunjukkan, 59 peratus rakyatnya mengakui kewangan mereka terjejas akibat wabak ini.

Sebanyak 22 peratus pula berkata kewangan mereka tidak terjejas, sementara baki 19 peratus tidak pasti.

Selain itu, 46 peratus menyatakan tidak pasti mengenai nasib pekerjaan mereka dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Responden ditanya berkenaan kesan kewangan dan simpanan wang yang dimiliki mereka. - Foto Berkshire Media

Sebanyak 35.4 peratus mengakui pekerjaan mereka ketika ini dijamin, sementara baki 19 peratus mengatakan bahawa mereka mungkin tidak bekerja dalam masa terdekat.

Tambah memburuk, satu daripada tiga responden mengakui bahawa simpanan wang mereka tidak mencukupi untuk meneruskan kehidupan sekiranya enam bulan tidak bekerja.

Hanya 35.2 peratus sahaja mengesahkan mereka mempunyai simpanan wang yang mencukupi.

Baki 30.8 peratus mengatakan tidak mencukupi sementara 34 peratus lagi tidak pasti sama ada ia mencukupi atau tidak untuk tempoh enam bulan.

46 peratus menyatakan tidak ketentuan terhadap nasib pekerjaan mereka dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang. - Foto Berkshire Media

Walaupun SGD5.1 bilion pakej rangsangan ekonomi ketiga dilaksanakan kerajaan dengan jumlah SGD59.9 bilion dibelanjakan untuk menangani krisis ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dijangka terus menyusut ekoran gangguan terhadap perdangangan antarabangsa.

Pakej tersebut yang turut memperuntukkan bantuan wang tunai SGD500 juga dianggap tidak memadai oleh rakyatnya.

Ia apabila 52.6 peratus responden mengakui ia tidak mencukupi selain 30 peratus lagi menyatakan tidak pasti.

Hanya 17.4 peratus sahaja responden yang menyatakan pakej rangsangan itu memadai buat rakyatnya.

Majoriti responden mengatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi Singapura tidak memadai untuk mereka. - Foto Berkshire Media