Itali melaporkan 427 kematian akibat COVID-19 pada Khamis, menjadikan jumlah korban di negara berkenaan meningkat kepada 3,405 orang.

Angka tersebut melebihi jumlah kematian di China yang setakat Khamis mencatatkan 3,249 mangsa, kurang 156 dari Itali.

Lapor Associated Press (AP), angka jangkitan di Itali pula meningkat kepada 41,035 selepas 5,322 kes baru dicatatkan.

Dalam masa yang sama, bandar Wuhan dalam wilayah Hubei di China, yang merupakan pusat penularan wabak COVID-19 sejak Disember lalu, pada Khamis tidak mencatatkan jangkitan baru.

Satu pasukan Palang Merah China yang terbang ke Itali untuk membantu, sebelum ini telah mengkritik kegagalan orang Itali menjalani kuarantin sepenuhnya di rumah.

Mereka dikatakan tidak mengambil serius arahan 'darurat negara' yang dikeluarkan.