Singapura telah melaporkan 469 kes baru jangkitan COVID-19 di republik itu, dengan 15 kes daripadanya merupakan kes import.

Dalam data ringkas dikeluarkan tengah hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata, kesemua kes import telah dikenakan Notis Duduk Di rumah, semasa tiba di negara itu.

Berdasarkan kepada siasatan MOH menyatakan terdapat juga dua kes dalam komuniti di mana seorang daripadanya merupakan warga Singapura dan seorang lagi pemegang pas pekerja.

Majoriti besar kes di negara itu masih melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja dan dengan data terkini itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu 50,838 kes.

Sementara itu dalam data yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 671 kes sebagai kes import, 2,162 kes komuniti dan 47,533 pula melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Sehingga tengah hari semalam, 45,521 atau 90 peratus daripada jumlah kes, telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital ataupun kemudahan rawatan komuniti.

Masih terdapat 173 kes yang disahkan masih dirawat di hospital. Daripada jumlah itu, kebanyakkan mereka berada di dalam keadaan stabil dan tiada yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Sejumlah 4,6481 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia akibat COVID-19 di sini.

Dua kluster baru dikenal pasti semalam, kedua-duanya asrama iaitu di 52 Kaki Bukit Industrial Terrace dan 19 Kian Teck Avenue.

-- BERNAMA