JOHANNESBURG: Afrika Selatan mungkin memasuki gelombang COVID-19 kelima lebih awal daripada jangkaan selepas peningkatan berterusan dalam jangkitan sepanjang 14 hari lalu.

Kata pegawai kesihatan, ini didorong oleh subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron.

Negara yang mencatatkan kes dan kematian koronavirus paling banyak di benua Afrika itu hanya keluar daripada gelombang keempat sekitar Januari lalu dan telah meramalkan gelombang kelima boleh bermula pada Mei atau Jun.

Menteri Kesihatan Joe Phaahla memberitahu, walaupun kemasukan ke hospital semakin meningkat, setakat ini tiada perubahan dramatik dalam kemasukan ke unit rawatan rapi atau kematian.

Beliau berkata pada peringkat ini pihak berkuasa kesihatan belum dimaklumkan mengenai sebarang varian baharu, selain perubahan kepada varian dominan yang beredar iaitu Omicron.

Imuniti yang berkurangan daripada gelombang sebelumnya boleh menyumbang kepada kebangkitan semula kes yang lebih awal daripada yang dijangkakan.

Beliau berkata peningkatan bahagian jangkitan yang dikaitkan dengan subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron mencadangkan mereka mempunyai kelebihan pertumbuhan berbanding sub-varian Omicron lain seperti BA.2.

Tetapi setakat ini tiada tanda bahawa BA.4 dan BA.5 menyebabkan penyakit yang jauh lebih teruk.

Afrika Selatan telah melaporkan lebih daripada 3.7 juta kes COVID-19 dan lebih 100,000 kematian akibat wabak itu.