RIYADH:Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi menutup sementara lapan lagi masjid di seluruh negara itu pada Jumaat susulan kes koronavirus yang terus meningkat.

Imam masjid juga meminta para jemaah untuk mengambil langkah pencegahan dengan serius dan menganggapnya sebagai tugas untuk agama dan masyarakat.

Sejak lima hari lalu, 52 buah masjid telah ditutup susulan laporan kes positif COVID-19.

Setakat ini 38 buah masjid telah menyelesaikan prosedur pembersihan.

Kerajaan memperhebatkan usaha memantau semua kemudahan masjid di mana solat Jumaat diadakan dalam usaha untuk mengawal penyebaran virus.

Petugas masjid bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan, NGO dan institusi amal, bagi mengatur kemasukan para jemaah ke masjid dan memeriksa suhu ketika masuk.

Alat pembersih dan kebersihan juga disediakan.

Dalam program kesedaran di media sosial yang dilancarkan oleh kerajaan, pendakwah mula mendidik masyarakat tentang hal pencegahan penyakit dalam ajaran Islam.

Sementara itu, di Jeddah, pihak berkuasa melakukan 4,523 pemeriksaan di 19 wilayah untuk memastikan langkah sewajarnya dipatuhi.

Pemerikaan dilakukan antaranya di restoran, kafe, pawagam, pusat hiburan dan permainan dalam kompleks, pusat membeli-belah, dan majlis perkahwinan.

"Pasukan di lapangan telah melipat gandakan jumlah pemeriksaan," kata Mohammed Al-Mutairi, wakil kerajaan tempatan.

Katanya, 168 pelanggaran SOP direkodkan dan 140 kemudahan ditutup susulan pemeriksaan.