LONDON: Pengawal selia ubat-ubatan Britain pada Khamis meluluskan penggunaan vaksin Moderna untuk kanak-kanak berusia di antara 6 hingga 11 tahun.

Agensi pengawalseliaan produk ubat dan kesihatan (MHRA) berkata, kelulusan itu diberikan selepas vaksin Moderna, dikenali sebagai Spikevax memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan yang diperlukan.

Walaupun kebanyakan kanak-kanak mengalami simptom ringan atau tiada simptom COVID-19, mereka masih boleh menyebarkan virus itu dan ada yang kekal berisiko menjadi gejala teruk kerana varian baharu yang sangat menular seperti omicron dan sub-variannya.

Spikevax telahpun diluluskan di Britain untuk mereka yang berumur 12 tahun ke atas.

Lanjutan untuk memasukkan kanak-kanak lebih muda hadir beberapa jam selepas pengawal selia meluluskan vaksin COVID-19 oleh firma Perancis, Valneva untuk orang dewasa sehingga umur 50 tahun.

Ketua MHRA, June Raine berkata dalam satu kenyataan, terpulang kepada jawatankuasa bersama Britain mengenai vaksinasi dan imunisasi untuk menasihati sama ada vaksin Moderna akan ditawarkan kepada golongan muda sebagai sebahagian daripada program imunisasi negara itu.

Moderna tahun lepas berkata vaksin dua dosnya, berdasarkan teknologi RNA Messenger (mRNA), menjana antibodi peneutral virus pada kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun dan keselamatannya setanding dengan yang dilihat dalam ujian ke atas remaja dan dewasa.

Bulan lalu, pembuat ubat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berkata, akan mendapatkan kebenaran Spikevax pada kanak-kanak yang berumur bawah 6 tahun berdasarkan data yang menunjukkan ia menghasilkan tindak balas imun yang serupa kepada orang dewasa.