WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menasihatkan rakyatnya supaya tidak mengembara ke lapan destinasi termasuk Sepanyol, Finland, Chad dan Lebanon.

CDC turut menambah Bonaire, Monaco, San Marino dan Gibraltar dalam senarai pada klasifikasi tahap 4, iaitu sangat tinggi.

Selain itu 85 destinasi diletakkan pada tahap nasihat perjalanan tertinggi termasuk hampir kesemua kawasan di Eropah.

Sepanyol merupakan negara paling diminati pelancong dari Amerika Syarikat.

Pada Jumaat lepas, kadar jangkitan di Sepanyol meningkat kepada lebih 500 kes untuk setiap 100,000 individu, meningkat lebih dua kali ganda daripada jumlah kes yang dilaporkan pada awal Disember.

Menurut data Kementerian Kesihatan negara itu, sebanyak 33,359 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan pada Jumaat dengan 41 kes kematian.

Hampir 80 peratus daripada 47 juta penduduk di Sepanyol telah melengkapkan dos vaksin COVID-19 dan kira-kira 10 juta penduduk telah menerima dos penggalak.