MANILA: Individu yang belum mengambil vaksin akan ditangkap sekiranya mereka ingkar kepada arahan tinggal di rumah.

Itu tegas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte di mana langkah itu diambil selepas jangkitan baharu COVID-19 di negara itu kian meningkat.

Dalam ucapannya, Duterte meminta pemimpin masyarakat untuk mencari individu yang tidak divaksinasi dan memastikan mereka terus berada di rumah.

Katanya, sekiranya ada yang berdegil, mereka akan ditangkap.

Menurut Duterte, ini merupakan tanggungjawabnya untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan sejahtera.

Beliau juga mencabar mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan arahan terbaharu itu untuk memfailkan kes terhadapnya.

Jangkitan COVID-19 harian di Filipina mencecah paras tertinggi sejak 26 September iaitu 17,220 kes pada Khamis.

Ia termasuk jangkitan varian baharu, Omicron.

Jumlah berkenaan sekali gus mencatat tiga kali ganda berbanding Selasa dan kini negara itu mencatat kumulatif lebih 2.88 juta kes dengan 51,700 kematian.