SEMUA orang dewasa berumur 25 hingga 29 tahun di England yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 boleh membuat janji temu dos pertama mereka bermula hari ini (8 Jun).

Langkah itu dilihat mampu membawa United Kingdom (UK) ke arah mencapai sasaran menawarkan vaksin kepada semua orang dewasa pada penghujung Julai.

Setiausaha Kesihatan UK Matt Hancock berkata pada Isnin, vaksin akan memutuskan hubungan antara jangkitan virus dan kemasukan ke hospital serta kematian.

"Sehingga hari ini, 76 peratus orang dewasa UK telah diberi vaksin sekurang-kurangnya satu dos dan 52 peratus orang dewasa telah diberikan dua suntikan.

"Kelajuan pelancaran vaksin sangat luar biasa.

"Sabtu ini sahaja, pasukan vaksinasi memberi lebih 675,000 suntikan dan saya gembira untuk menyatakan kepada Dewan bahawa mulai minggu ini kita akan mula menawarkan vaksinasi kepada mereka di bawah 30 tahun.

"Ini akan membawa kita semakin dekat dengan sasaran iaitu untuk menawarkan vaksin kepada semua orang dewasa di UK pada akhir bulan depan," kata Hancock.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk melonggarkan sekatan seperti tarikh dirancang 21 Jun ini.

Ini kerana, terdapat kebimbangan peningkatan kes jangkitan disebabkan varian India atau dikenali sebagai Varian Delta.

Doktor di perkhidmatan kesihatan kebangsaan akan mula memberikan mesej sepanjang minggu bagi menggalakkan golongan belia datang untuk mendapatkan vaksin.

Berdasarkan data, Hancock berkata, program vaksinasi UK telah berjaya mengelakkan 39,000 kemasukan ke hospital dan 13,000 kematian.

Sementara itu, katanya, Jawatankuasa Ubat-Ubatan UK akan menasihati kerajaan mengenai pemberian vaksinasi kepada kanak-kanak.