COVID-19: Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1

Bernama
Mei 17, 2022 10:02 MYT
Kluster tempatan membabitkan varian BA.2.12.1 dikesan di Metro Manila, wilayah Visayas Barat dan bandar Puerto Princesa di wilayah Palawan. - Gambar fail/REUTERS
MANILA: Jabatan Kesihatan Filipina pada Selasa mengesahkan penularan tempatan melibatkan kes subvarian Omicron BA.2.12.1, lapor Xinhua.
Timbalan Setiausaha Kesihatan Maria Rosario Vergeire berkata kluster tempatan membabitkan varian BA.2.12.1 dikesan di Metro Manila, wilayah Visayas Barat dan bandar Puerto Princesa di wilayah Palawan.
"Ini bermakna kes yang dikesan di wilayah ini tidak mempunyai kaitan dengan kes import," kata Vergeire dalam taklimat media secara maya.
Filipina telah mengesan 17 kes membabitkan subvarian BA.2.12.1 setakat ini.
Sehingga kini Filipina telah merekodkan 3,688,292 kes jangkitan COVID-19, termasuk 60,458 kematian.
Jumlah kes baharu COVID-19 terus mencatatkan penurunan dengan purata 157 kes sehari.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Filipina #Omicron #jangkitan #Manila