PROGRAM vaksinasi COVID-19 di kebanyakan negara tidak akan bantu mencapai imuniti kelompok (herd immunity) daripada pandemik global pada tahun ini, menurut pakar-pakar kesihatan pada Isnin.

Memetik laporan Reuters, pakar-pakar tersebut merujuk kepada beberapa isu seperti akses yang terhad bagi negara miskin, keyakinan terhadap vaksin serta mutasi virus.

“Kita tidak akan kembali kepada normal dengan begitu cepat,” kata Dale Fisher, pengerusi Rangkaian Respons dan Amaran Wabak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada persidangan Reuters Next.

“Kita tahu kita perlu mencapai imuniti kelompok di kebanyakan negara, namun kita tidak akan dapat menyaksikannya pada 2021,” jelas Fisher.

“Mungkin beberapa negara dapat mencapai imuniti kelompok, namun perkara itu tidak akan mewujudkan semula ‘normal’, terutamanya membabitkan kawalan sempadan.”

Jelas beliau, situasi itu bagaimanapun merupakan senario terbaik berdasarkan pengetahuan mengenai vaksin setakat ini.

Imuniti kelompok merujuk kepada keadaan penularan jangkitan yang rendah kerana sebahagian besar masyarakat mempunyai imuniti kepada jangkitan tersebut.

Bagaimanapun, Pandu Riono, seorang pakar epidemiologi di Universiti Indonesia pula menyarankan bahawa kebergantungan kerajaan kepada vaksin secara keterlaluan bermaksud imuniti kelompok tidak akan tercapai dalam masa terdekat.

“Kerajaan Indonesia percaya bahawa vaksin adalah penyelesaian terbaik bagi mengawal pandemik, dan mereka lupa bahawa pemantauan seperti ujian saringan, komunikasi, mendidik orang untuk mengurangkan jangkitan juga penting kerana vaksin memerlukan masa untuk melindungi kebanyakan orang,” kata Riono pada persidangan itu.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan negara-negara Eropah telah mula melaksanakan program vaksinasi menggunakan vaksin yang dibangunkan Pfizer-Biontech serta Moderna dan AstraZeneca-Universiti Oxford.

Indonesia dan India pula merancang untuk memulakan program imunisasi hujung minggu ini.

Negara-negara kaya berada di barisan hadapan menerima vaksin sekali gus menimbulkan permasalahan tentang akses kepada vaksin bagi negara berpendapatan rendah dan pertengahan.