KADAR kematian dan jangkitan harian COVID-19 India catat rekod tertinggi pada Sabtu  dengan ribuan pesakit berada di ambang maut di seluruh negara itu.

India melaporkan 2,624 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah korban keseluruhan mencecah 190,000 kes.

Lebih 340,000 jangkitan baharu turut dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 16.5 juta kes.

India menjadi negara kedua paling teruk terjejas akibat COVID-19 selepas Amerika Syarikat.

Peningkatan mendadak kes COVID-19 itu dikaitkan dengan kemunculan varian baharu dan 'super spreader' atau perebak utama ketika India mengadakan pilihan raya baru-baru ini serta upacara keagamaan yang dihadiri jutaan orang.

Kadar kematian dan jangkitan itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan mana-mana negara di dunia dalam tempoh 24 jam sejak wabak itu bermula pada akhir 2019.

Kekurangan serius bekalan oksigen dan ruang rawatan di hospital menyaksikan ratusan atau mungkin ribuan pesakit maut ketika berada di perkarangan hospital semasa menunggu rawatan.

BACA: Hospital di India rayu diberi bekalan oksigen

BACA: Ramai pesakit COVID-19 meninggal dunia ketika tunggu giliran rawatan di India

Barisan panjang pesakit dan saudara-mara mereka yang bimbang atau ketakutan semakin bertambah di luar hospital di bandar besar di seluruh India, yang kini melaporkan hampir sejuta kes baharu dalam tempoh tiga hari.

Bagaimanapun ramai pakar berpendapat gelombang semasa tidak akan mencapai kemuncak sekurang-kurangnya tiga minggu lagi.

India dikritik kerana kurangnya persediaan menjelang gelombang jangkitan, dan kerajaan pusat digesa mengatur kereta api khusus untuk menghantar bekalan oksigen ke bandar-bandar yang paling teruk terjejas COVID-19.

Industri berkaitan turut digesa meningkatkan pengeluaran oksigen dan ubat-ubatan yang boleh menyelamatkan nyawa dalam tempoh yang singkat.

Dalam pada itu kereta api 'ekspres oksigen' yang membawa 30,000 liter bekalan ke hospital tiba di Lucknow, Uttar Pradesh pada pagi Sabtu.

Lucknow adalah antara bandar paling teruk dilanda wabak, dengan hospital dan pusat pembakaran mayat dibanjiri pesakit serta mayat.

Dalam pada itu, Tentera Udara India juga dikerah untuk mengangkut tangki oksigen dan bekalan lain ke seluruh negara.

Sementara di New Delhi, kerajaan mulai menyiapkan stok oksigen untuk mempercepat bekalan ke hospital.