Indonesia mencatatkan 139 lagi kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam, angka tertinggi setakat ini, sejak kes kematian pertama dilaporkan pada 11 Mac.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, kes positif COVID-19 di Indonesia juga berterusan meningkat kepada 91,751 kes iaitu tambahan 1,882 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Mengikut data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id, jumlah keseluruhan kematian kini meningkat kepada 4,459 orang manakala sebanyak 44,222 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,496 orang, diikuti Jakarta (751), Jawa Tengah (444), Sulawesi Selatan (287) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Provinsi Jawa Timur juga mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 19,903 kes, diikuti Jakarta (17,621 kes) dan selebihnya di 32 wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA