KETIKA dunia dilanda dengan pandemik yang telah membunuh lebih 264,000 orang setakat ini, ramai juga yang terpaksa menanggung kesan buruk akibat ekonomi yang tidak stabil.

Pada masa ini juga, mereka yang berkemampuan mengambil berat nasib mereka yang jauh lebih memerlukan di saat-saat kritikal ini.

Sehubungan itu, ramai yang berani dan berbaik hati untuk tampil ke hadapan bagi meringankan beban rakyat marhaen yang sedang kesusahan.

Berikut Astro AWANI senaraikan empat jutawan terkenal yang membuat sumbangan bagi menangani wabak COVID-19.

Lelaki terkaya di dunia, Jeff Bezos menerusi laman Instagram pada 3 April lalu mengumumkan sokongannya terhadap pembantu kesihatan barisan hadapan dengan menyampaikan sumbangan.

BACA: Lelaki terkaya di dunia Jeff Bezos sumbang US$10 bilion tangani masalah perubahan iklim

Sumbangan yang berjumlah AS$100 juta itu disalurkan kepada Feeding America, iaitu sebuah NGO pengurusan makanan terbesar di Amerika Syarikat.

Selain itu, pengasas syarikat Amazon ini juga turut menyampaikan sebuah surat terbuka kepada kumpulan pekerjanya pada 22 Mac lalu.

Surat itu merupakan sebuah pengumuman bahawa beliau akan menaikkan gaji pekerja yang dibayar mengikut berdasarkan jam memasuki syif.

Lebih menarik lagi, Amazon juga turut bakal membuka sebanyak 100,000 pekerjaan kosong di dalam syarikat itu, dengan harapan agar dapat membantu orang yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Amazon juga telah membuat sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada tabung COVID-19 di Washington D.C.

Pada 5 Februari lalu, jutawan dan pengasas Microsoft, Bill Gates dan isterinya Melinda Gates membuat sumbangan sebanyak AS$100 juta melalui Bill and Melinda Gates Foundation bagi menanggung impak global terhadap wabak COVID-19.

Pasangan suami isteri yang sering dikenali dengan usaha-usaha dermawan mereka juga turut melancarkan satu tabung bantuan di bawah yayasan mereka bagi membantu memperkuatkan pengesanan kontak, isolasi dan rawatan ke atas wabak ini.

BACA: 'Tutup sajalah semua kawasan' - Bill Gates gesa darurat seluruh negara dikuat kuasa

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dan isterinya, Priscilla Chan, melalui sebuah syarikat liabiliti terhad bernama Chan Zuckerberg Initiative aktif menyampaikan sumbangan dana bagi membantu usaha membendung COVID-19.

Melalui inisiatif tersebut, mereka membuat sumbangan sebanyak AS$5 juta kepada badan-badan kebajikan, dan AS$1.6 juta untuk geran pendidikan bagi menampung para pendidik dan pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Jack Dorsey menyampaikan sumbangan sebanyak AS$1 billion ke syarikat liabiliti terhad miliknya, Start Small.

Pengumuman itu dibuat menerusi laman Twitter Dorsey pada 8 April lalu.

Sumbangan itu merupakan ekuiti yang dimilikinya bagi membiayai kos menangani wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Menurut Dorsey, dana yang disumbangkan olehnya merangkumi 28 peratus dari nilai bersihnya iaitu AS$3.6 bilion.

Dorsey turut berkongsi pautan Google Docs kepada orang ramai bagi memperlihatkan bagaimana dana tersebut digunakan.