IRAN bakal hadapi gelombang kelima jangkitan COVID-19 akibat varian Delta yang mudah menular.

Presiden Hasssan Rouhani memberi amaran terdapat kebimbangan bahawa seluruh negara itu mungkin memasuki gelombang kelima sekiranya usaha tidak dilakukan dalam mengikuti protokol kesihatan.

Katanya menurut laporan, hanya 69 peratus rakyat melakukan tindakan berjaga-jaga.

Jelasnya, varian Delta memasuki negara itu dari selatan dan tenggara sekaligus orang ramai perlu berhati-hati untuk mencegah penyebarannya di negara itu.

Beliau menegaskan semua peraturan kesihatan mesti dipatuhi sekiranya tidak mahu menghadapi masalah.

Iran dengan populasi 83 juta mencatatkan 84,627 kematian akibat COVID-19, jumlah tertinggi di Asia Barat.

Pihak berkuasa kesihatan mengisytiharkan Tehran dan 91 bandar lain sebagai zon merah dan berisiko tinggi.

Antara sekatan dilaksanakan ialah penutupan perniagaan tidak penting dan menghadkan kehadiran pekerja kepada 30 peratus di ibu negara.

Kerajaan Iran menyalahkan sekatan Amerika Syarikat punca vaksinasi perlahan di negara itu.

Setakat ini Iran hanya menerima sebahagian kecil daripada 16.8 juta vaksin yang dipesannya dari program COVAX.

Jurucakap Pasukan Petugas Koronavirus memberitahu bahawa 7 juta dos vaksin telah diedarkan dengan 2 juta orang menerima dua dos dan 4 juta satu dos.

Iran telah melesenkan untuk penggunaan awam dua vaksin buatan tempatan dan sedang mengusahakan lima lagi vaksin buatan sendiri.

Tehran juga bekerjasama dengan Rusia dalam menghasilkan vaksin Sputnik V.