MOSCOW: Jepun mencatatkan 250,403 kes COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu, jumlah peningkatan harian terbesar sejak wabak itu mula dikesan, lapor media.

Sebelumnya, 249,800 kes COVID-19 harian baharu dilaporkan pada 3 Ogos, lapor Xinhua memetik laporan Agensi Berita Kyodo pada Rabu.

Seperti kebanyakan negara lain, Jepun kini menghadapi gelombang ketujuh COVID-19 yang dikaitkan dengan penyebaran subvarian Omicron BA.5.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020. Setakat ini, Jepun mencatatkan lebih 14.88 juta kes COVID-19, dengan lebih 34,000 kematian.

-- BERNAMA